Thursday, July 11, 2019

KAJIAN TINDAKAN UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAN SIFIR KALANGAN MURID


JOM BELAJAR SAMBIL MENGIPAS, MENGIPAS SAMBIL BELAJAR
Parthiban Govindasamy
SJK(T) Ladang Shum Yip Leong, Ringlet.


Abstrak

Kajian tindakan ini bertujuan untuk mengatasi masalah penguasaan sifir dalam kalangan murid tahap 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Shum Yip Leong. Pengkaji meningkatkan penguasaan sifir dalam kalangan murid tahap 2 dengan pembaris 2 in 1 iaitu mengipas sambil belajar, belajar sambil mengipas. Fokus kajian ini adalah untuk melihat sejauhmana keberkesanan penggunaan pembaris 2 in 1 ini dapat meningkatkan penguasaan sifir serta minat dalam kalangan murid tahun 4,5 dan 6. Tinjauan awal mendapati murid-murid tahap 2 tidak menguasai sifir 1 hingga 12 berdasarkan hasil analisis ujian pra yang dijalankan. Murid-murid tidak boleh menjawab soalan darab kerana belum menguasai sifir. Murid sering mendarab dengan salah kerana tidak menghafal sifir dengan betul. Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji menggunakan pembaris 2 in 1 untuk meningkatkan penguasaan sifir dalam kalangan murid. Pengkaji telah menggunakan 3 cara pengumpulan data iaitu ujian pra dan pasca, temubual dan analisis dokumen. Keputusan kajian ini menunjukkan murid-murid dapat menguasai sifir dengan lebih mudah di samping meningkatkan minat murid untuk belajar sifir.   
  


Kata Kunci : Pembaris 2 in 1, sifir     

Abstract

This study was aimed to solve the problems in timetables among level 2 pupils at Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Shum Yip Leong. The researcher increased the pupils mastery level in timetables amongst level 2 pupils with 2 in 1 rulers. The focus of this study is to see how effective the use of the 2 in 1 ruler can improve the mastery of timetables and interest amongst students in the years 4.5 and 6. The survey found that the students of level 2 did not mastery in the timetables 1 to 12 based on the results of the pre-test analysis. Pupils cannot answer multiple questions because they have not mastered in timetables. Students did wrong in multiply questions because they do not memorize the timetables correctly. To overcome this problem, the researcher used the 2 in 1 ruler to memorize the timetables among the students. The researcher used 3 methods of data collections  pre and pos test, interview and document analysis. The results of the study show that pupils can master the timetables easily as well as increase students' interest in learning timetables.

Keywords : Ruler  2 in 1, timetables      




1.0              Pengenalan


Saya telah menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi murid tahap 2 iaitu tahun 4,5 dan 6 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Shum Yip Leong. Semasa pengajaran dan pembelajaran, saya mendapati murid-murid tidak dapat menguasai topik pendaraban. Murid-murid ini sering menghadapi masalah atau kekeliruan semasa menyelesaikan soalan pendaraban. Berdasarkan pemerhatian, saya dapati murid-murid juga tidak dapat membuat pendaraban yang melibatkan dua digit dengan satu digit. Kebanyakkan murid mengetahui cara kerja melakukan pendaraban tetapi masih tidak dapat menjawab dengan betul. Saya dapati terdapat murid yang cemerlang juga menghadapi masalah yang sama. Mereka berjaya membuat pendaraban tetapi jawapannya salah. Ini menunjukkan murid-murid tahap 2 belum menguasai sifir 1 hingga 12.

Sifir merupakan satu kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid-murid supaya memudahkan penambahan berterusan dalam matematik. Walaubagaimanapun, murid memahami konsep pendaraban tetapi masih tidak menghafal sifir dengan betul. Mereka menghadapi masalah dalam menjawab soalan matematik melibatkan sifir. Tambahan pula, mereka tidak dapat menjawab soalan matematik dengan cepat malah mengambil masa yang lama. Ini adalah kerana mereka terpaksa menulis sifir tersebut untuk mendapatkan jawapan. Selain itu, murid-murid tahap 2 ini sering menunjukkan tingkahlaku yang pasif apabila diminta menghafal sifir menggunakan jadual sifir yang terdapat di belakang buku. Mereka menunjukkan rasa tidak seronok untuk menghafal sifir. Mereka menganggap menghafal sifir itu satu bebanan. Murid-murid ini sentiasa diminta menghafal sifir semasa waktu rehat tetapi duduk termenung sahaja.

Jadi berdasarkan refleksi pengajaran dan pembelajaran, saya mendapati perlunya satu melakukan satu tindakan untuk menangani masalah penguasaan sifir ini. Oleh itu, saya membina satu inovasi bahan pengajaran iaitu pembaris 2 in 1 yang dikenali sebagai ‘Belajar sambil mengipas, Mengipas sambil belajar’ untuk membantu murid-murid menguasai sifir. Diharap dengan penggunaan bahan pengajaran ini kelak, ia dapat membantu murid-murid saya untuk mempertingkatkan penguasaan murid dalam sifir sekaligus meningkatkan minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. 

2.0              Fokus Kajian

Kajian ini hanya berfokus kepada masalah murid untuk menguasai sifir. Murid sering melakukan kesalahan semasa menghafal sifir. Mereka tidak dapat menyatakan sifir 3 hingga 12. Mereka tidak boleh menyatakan sifir secara rawak. Kelemahan ini menyebabkan murid-murid gagal menjawab soalan pendaraban dengan betul. Kajian ini penting untuk  dijalankan bagi membantu mengatasi masalah murid-murid tahap 2 dalam menjawab soalan matematik yang melibatkan sifir.

3.0              Objektif dan Soalan Kajian

Objektif khusus kajian ini adalah :
1.      Meningkatkan penguasaan murid dalam sifir 1 hingga 12.
2.      Mengenalpasti keberkesanan “Pembaris 2 in 1” dalam meningkatkan penguasaan dan penghafalan murid.
3.      Meningkatkan minat murid untuk belajar sifir.

Soalan Kajian adalah seperti berikut :
1.      Adakah penguasaan murid dalam sifir meningkat ?
2.      Adakah Pembaris 2 in 1 dapat membantu murid menguasai sifir dengan mudah ?
3.      Bagaimanakah minat murid belajar sifir ?

4.0              Kumpulan Sasaran

Kajian ini telah dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Shum Yip Leong yang terletak di daerah Cameron Highlands, Pahang. Seramai 5 orang murid daripada tahun 4, 5 dan 6 terlibat sebagai sampel dalam kajian ini. Murid-murid ini masih tidak menguasai sifir dengan betul. Murid-murid ini mempunyai masalah dalam menjawab soalan matematik yang melibatkan sifir.

5.0       Perancangan dan Tindakan yang dijalankan   
       
              Dalam kajian ini, saya telah memperolehi maklumat mengenai masalah penguasaan
           sifir murid melalui ujian pra dan refleksi pengajaran dan pembelajaran murid. Saya
           telah menganalisis ujian pra dan mengenalpasti masalah murid dalam penguasaan sifir.  
           Berikut adalah perancangan dan tindakan yang dijalankan untuk  menjalankan kajian                
           ini.



Jadual 1
Perancangan dan Pelaksanaan Tindakan

Langkah /
Tarikh
Pelaksanaan Tindakan
Cara Pengumpulan Data
Langkah 1
10/12/2018
·         Memeriksa hasil kerja murid

Analisis Dokumen
Pemerhatian


Langkah 2
15/01/2019


·         Menjalankan Ujian Pra
Analisis Ujian Pra
Langkah 3
    22/01/2019

-

22/03/2019

2 bulan
·         Guna bahan Inovasi

·         Membaca dan menghafal sifir menggunakan Pembaris 2 in 1.

·         Membaca sifir menggunakan Pembaris 2 in 1 setiap hari pagi dan masa waktu rehat.

·         Mencatat Penguasaan Sifir dalam Buku “TEST ME”





Pemerhatian





Analisis Dokumen
Langkah 4
    23/04/2019



·         Ujian Pasca
Analisis Ujian Pasca
Langkah 5
23/04/2019
·         Temubual bersama murid
Temubual


 UJIAN PRA 
 




PELAKSANAAN INTERVENSI





 UJIAN PASCA





 VIDEO PELAKSANAAN INTERVENSI





6.0         Keputusan Analisis dan Interpretasi Data


6.1  Perbandingan Ujian Pra dan Pasca


Rajah 1
Perbandingan Markah Ujian Pra dan Pasca




Berdasarkan graf analisis rajah 1, menunjukkan perbandingan ujian pra dan ujian pasca bagi melihat keberkesanan atau peningkatan markah sebelum dan selepas intervensi. Keputusan ini dapat menjawab persoalan kajian yang pertama iaitu melihat adakah terdapat peningkatan markah selepas intervensi dan juga persoalan kajian kedua iaitu melihat keberkesanan pembaris 2 in 1 yang digunakan. Analisis graf menunjukkan terdapat peningkatan dalam markah pencapaian murid dalam ujian pasca berbanding ujian pasca. Ujian Pra menunjukkan min markah sebanyak 45 manakala ujian pasca pula menunjukkan markah min 73.6. Ini menunjukkan terdapat peningkatan yang besar iaitu sebanyak 28.6 daripada ujian pra ke ujian pasca. Pengkaji dapat menyimpulkan bahawa keputusan ujian pra dan pasca menunjukkan terdapat peningkatan yang besar selepas intervensi. Keputusan ini jelas menunjukkan bahawa bahan inovasi iaitu pembaris 2 in 1 dapat membantu murid-murid untuk menguasai sifir dengan  mudah dan cepat.
6.2  Temubual

Persoalan kajian yang ketiga iaitu bagaimanakah minat murid belajar sifir menggunakan bahan inovasi Pembaris 2 in 1. Temubual ini dijalankan ke atas kelima-lima orang murid yang menjadi sampel kajian ini. Menurut Denzin (2011), temubual memberikan gambaran reflektif dan dapat mencerminkan keadaan yang sebenar. Jadi, guru dapat mengumpul maklumat dengan tepat melalui temubual. Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi kelima-lima orang murid memberi respon yang positif. Mereka menyatakan sebelum menggunakan pembaris 2 in 1 ini, mereka berasa malas untuk membaca sifir dalam buku. Mereka menyatakan penggunaan bahan inovasi ini menyeronokkan untuk belajar dimana mana sahaja. Tambahan pula, mereka menyatakan bahawa Pembaris 2 in 1 mudah dibawa ke mana sahaja dan mudah untuk menyimpan dalam bekas pensel. Mereka mengakui bahawa mereka dapat menghafal sifir selepas penggunaan pembaris 2 in 1 ini.

7.0   Rumusan dan Refleksi Dapatan Kajian
Berdasarkan hasil dapatan kajian, pengkaji menyatakan bahawa penggunaan Pembaris 2 in 1 amat membantu murid-murid untuk menguasai sifir dengan mudah sekaligus meningkatkan minat murid untuk belajar sifir.  Keputusan perbandingan ujian pra dan Pasca menunjukkan terdapat peningkatan yang besar selepas penggunaan Pembaris 2 in 1. Analisis dokumen sebelum intervensi dapat memberi maklumat dan kelemahan murid dalam menguasai sifir. Manakala, analisis dokumen selepas intervensi menunjukkan murid dapat menguasai sifir dan mahir menjawab soalan matematik yang melibatkan sifir. Murid-murid juga menunjukkan tingkahlaku yang positif serta aktif sepanjang sesi pembelajaran berlangsung. Minat murid dapat ditingkatkan melalui penggunaan Pembaris 2 in 1 untuk belajar sifir dengan seronok. Dapatan ini selaras dengan Ng (2017) yang menyatakan bahawa motivasi belajar murid bergantung kepada gaya pengajaran guru untuk memupuk minat murid terhadap pembelajaran tersebut. Dalam kajian ini, bahan inovasi iaitu Pembaris 2 in 1 menjadi  penggerak dan pencetus minat murid untuk menguasai sifir.

8.0  Bibliografi
Azizi, Y., Shahrin, H., & Jamaludin, R. (2007). Menguasai Penyelidikan dalam
             PendidikanTeori,  Analisis dan Interprestasi data. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Denzin, N.K. (2011). Handbook of qualitative research (2nd ed). Thousand Oaks, CA: Sage
            Publications.
Ng, Y.S. (2004). Penggunaan alat bantu mengajar di kalangan guru-guru teknikal sekolah
            menengah teknik, negeri kedah. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.
O’ Connell, S. (2011). Mastering The Basic Math Facts in Addition & Sustraction.
           Heinemann Portsmouth.





KOREA-MALAYSIA TEACHER EXCHANGE PROGRAMME

KAJIAN TINDAKAN UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAN SIFIR KALANGAN MURID

JOM BELAJAR SAMBIL MENGIPAS, MENGIPAS SAMBIL BELAJAR Parthiban Govindasamy SJK(T) Ladang Shum Yip Leong, Ringlet. rthiban89_mufc@yah...